Pages

29 Jul 2011

Warkah Ramadhan Buatmu Sahabat


Assalammualaikum. Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Apa khabar sahabatku yang sedang membaca surat ini? Saya harap sahabat sihat walafiat. Syukur ke hadrat Ilahi yang telah memberi saya kekuatan untuk menulis surat ini.

Ingin saya meminta maaf terlebih dahulu sekiranya surat ini akan mengguris hatimu wahai sahabat. Saya tidak kuat untuk berbicara denganmu secara berhadapan. Saya hanya manusia kerdil yang hina dan merasakan tidak layak untuk tegur dirimu wahai sahabat namun saya perlu lakukannya. Tatkala sahabat inspirasiku memberi tazkirah tentang ‘Kewajipan Berdakwah’dalam usrah bernama ‘Islamic Circle’ membuatkan saya rasa terpikul tanggungjawab untuk mengutus surat ini padamu.

Terungkapnya teguran ini adalah kerana saya kasih padamu, sahabat. Saya ingin mengajakmu ke arah kebaikan bersama denganku, agar kita sama-sama berjuang di jalan-Nya. Saya sangat sedih melihat dirimu masih dengan duniawi yang sementara sedangkan dirimu patut mengejar Akhirat sana yang semakin hampir.

Kita Hamba-Nya Yang Hina
Sahabat,
Saya ini juga manusia biasa sepertimu, kita adalah hamba-Nya yang hina. Mengapa hina? Kita dicipta daripada air mani lelaki yang disenyawakan dalam rahim seorang perempuan. Bukankah kita ini sangat hina kerana kita adalah daripada air mani. Seperti air kencing. MasyaAllah sahabat, kita sememangnya hamba-Nya yang hina namun kita tak pernah sedar akan diri yang hina. Allah muliakan kita menjadi manusia sempurna. Daripada air mani hingga menjadi manusia sempurna. Dia muliakan kita wahai sahabat. Lihatlah betapa Maha Penyayangnya Dia pada kita tetapi kita??

Tunaikanlah Solat
Sahabat,
Saya melihat dirimu leka daripada menunaikan solat. Sahabat, tahukah dirimu solatlah yang akan pertama ditanya nanti? Namun mengapa dirimu masih menafikannya. Saya faham sahabat, mungkin dirimu masih belum cukup sebati untuk mencukupkan solat lima waktu. Namun sahabat, saya sangat berharap agar dirimu akan beransur sedikit demi sedikit untuk mencukupkan ia. Allah itu Maha Penyayang wahai sahabat. Dia tetap sabar menunggu taubat dan solat hamba-Nya. Dia Maha Penyabar sahabat.

Pernahkah dirimu memikirkan bahawa Dia Maha Pemurah kerana apa? Pastinya dirimu pernah berlapar, dan dapat makan. Namun, dirimu tidak menunaikan solat. Allah itu Maha Pemurah kerana pernahkah dirimu kelaparan kemudian dapat makanan dan tiba-tiba Allah sambarkan dirimu dengan petir ketika sedang makan?? Tidak pernah kan sahabat? Lihatlah betapa Maha Pemurahnya Dia pada kita. Dia bagi kita makan. Duit yang ada, walaupun daripada ibu bapa, namun semuanya itu daripada Allah. Dia sayang dan kasih pada hamba-Nya. Dia tahu dirimu pasti lapar nanti, jadi, Dia murahkan rezeki pada keluargamu agar dirimu dapat makan walaupun ketika makan itu jarang sekali dirimu mengungkapkan “Bismillah” namun Dia masih memberimu makan.

“Allah telah pun menunaikan hak kita. Namun kita?? Adakah kita telahpun menunaikan hak-Nya?”

Lihatlah betapa Maha Pemurahnya Dia wahai sahabat. Tunaikanlah solat wahai sahabat, sekiranya dirimu tidak mampu untuk terus mencukupkan lima waktu namun beransur-ansurlah berubah menjadi orang yang baik.

“Barangsiapa yang dikehendaki Allah menjadi orang baik, maka ia akan memahamkannya tentang agama”

Hidayah itu perlu dicari wahai sahabat bukannya menunggu seru. Jika dirimu tidak mencari manakan bertemu seperti usaha yang kita perlu lakukan kemudian bertawakal kepada Allah untuk menilainya. Seperti itulah sahabat, hidayah itu perlu kita berusaha untuk cari dan kemudian, berserahlah kepada Allah untuk memberi kita hidayah. Jangan pernah kita berputus asar daripada rahmat-Nya.

Bayangkanlah kita ini banduan yang akan dihukum gantung pada hari esok, kita tahu kita akan mati esok. Pastinya kita akan bertaubat bersungguh-sungguh pada malam sebelum itu. Solat lima waktu, Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak pada hari itu adalah yang TERAKHIR buat kita. Pada awal pagi hinggalah fajar, dan Subuh itulah Subuh yang TERAKHIR buat kita (kerana hukum gantung biasanya dilakukan selepas Subuh). Pasti kita tidak akan menyia-nyiakan ketika itu kerana kita tahu kita akan mati pada waktu terdekat.

Usrah Itu Penting
Sahabat,
Dahulu, saya juga sepertimu. Keluar bersama kawan-kawan, tengok wayang, main boling, shopping namun kami lupa untuk menunaikan solat, kami pakai pakaian ketat yang sememangnya boleh menaikkan syahwat para adam. Kami tidak malu untuk berbuat begitu. Ketawa terbahak-bahak. Lupa pada-Nya, namun alhamdulillah kini, dengan hadirnya saya ke usrah, dapat saya rasakan satu ‘bonding’ yang unik dan sangat manis rasanya kerana saya bertemu dengan sahabat handai kerana-Nya. Oleh sebab itulah, saya suka mengatakan,

“Indahnya ukhwah fillah”

Kerana kami bertemu kerana ingin mengingati-Nya. Daripada usrahlah, saya mula mempunyai kekuatan untuk berubah sedikit demi sedikit. Dengan adanya sahabat usrah, saya rasa kuat. Saya rasa bersemangat dan gembira serta indah bersama mereka. Suatu perasaan yang menenangkan kerana kami bertemu untuk mencari keredhaan-Nya. Daripada usrahlah, banyak peringatan, ilmu yang saya tahu dan sedikit sebanyak memberi kefahaman kepada saya tentang,

“Apa yang aku patut lakukan sebagai seorang umat Islam”

Mengapa Perempuan Perlu Menjadi Muslimah Sejati
Sahabat,
Daripada usrahlah, saya dapat merasakan tingkatnya rasa malu dalam diri. Malu untuk ketawa berbahak-bahak di khalayak ramai, malu memakai baju ketat, malu apabila pakaian yang dipakai melekat pada tubuh badan seperti ada suatu perasaan yang kurang senang jika saya melakukan perkara itu. Daripada ketat, saya longgarkan. Daripada singkat, saya labuhkan. Sedikit demi sedikit saya mula memperbaiki diri untuk menjadi wanita solehah.
“Kerana sebelum mencari yang soleh, saya perlu jadi solehah dan insyaAllah saya juga akan mendapat pasangan sefikrah yang soleh”

Oleh sebab itulah pentingnya usrah dalam hidup kita.

“Sebaik-baik nikmat adalah wanita yang ditarbiyyah”

Sahabat bacalah artikel tentang “Mengapa perempuan perlu jadi muslimah sejati?” agar sahabat faham dan sedar bahawa pentingnya kita menjadi muslimah sejati. Apabila saya fikirkan tentang ayah, abang, saya rasa saya tidak patut mendedahkan aurat kerana saya sayang pada mereka. Ayah, dah terlalu banyak perngorbanan yang ayah berikan pada saya selama saya hidup di bawah jagaannya. Ayah (perantara Allah) yang memberi saya makan, minum, belikan saya pakaian. Kalau saya sedih, ayahlah yang menjadi tempat saya meluahkan masalah. Walau ayah saya jarang mengucapkan,

“Ayah sayang kamu”

Namun saya tahu, ayah sayangkan saya. Jadi saya tidak mahu menjadi penyebab kepada ayah yang tidak dapat masuk ke Syurga kerana saya sebagai anak perempuannya yang mendedahkan aurat hanya kerana ayah tidak menegur saya. Sebaliknya, sayalah yang perlu berusaha agar saya dapat menjaga ayah daripada ditarik oleh saya ke Neraka dengan berubah untuk mencapai wanita solehah dalam kehidupan saya. Begitu juga dengan abang. Walau abang tidak menegur saya, saya perlu mempunyai inisiatif sendiri untuk memperbaiki diri dan menjadi wanita solehah yang mana insyaAllah akan menyelamatkan ayah dan abang saya daripada ditarik oleh saya ke Neraka hanya kerana mereka tidak mentarbiyyah saya.

Dunia ini sementara, Akhiratlah Dunia Abadi Lagi Hakiki
Sahabat,
Dunia ini semakin tua, dunia ini semakin panas, dunia ini semakin ‘senja’ menunggu hari Kiamat yang makin mengejar. Masa juga semakin singkat dan pendek jika kita sedar. Lihatlah awan yang bergerak. Bayangkanlah dunia ini yang akan hancur suatu masa nanti. Tanah merekah, gunung berapi meletus menyebarkan larva yang sangat panas yang takkan kita mampu untuk menahannya. Sedangkan api yang kini 70 kali lebih kurang daripada api Neraka tidak mampu kita tahan apetah lagi api Neraka.

Dalamilah betapa dahsyatnya Neraka. Sanggupkah kita untuk menghadapi siksaan-Nya. Ada sahaja daripada kita kadang-kadang bangga melakukan dosa sedangkan mereka tidak dapat menghayati betapa perit dan dahsyatnya Neraka itu. Sedar, fahami dan renungkanlah wahai sahabat jika dirimu mampu dan sanggup untuk menghadapinya. Cuba sahaja membakar jarimu dalam nyalaan api pada dapur rumahmu. Mampukah dirimu wahai sahabat menahannya??

Ayuh sahabat, marilah kita sama-sama bermujahadah di jalan-Nya, berubah menjadi orang baik dan menyeru orang lain ke arah kebaikan dan meninggalkan kemungkaran. Saya mengharapkan dirimu wahai sahabat mulakan langkah pertama dengan menyertai usrah, merapatkan diri dengan orang soleh, solehah agar dirimu dapat mengukuhkan ‘bonding’ untuk perjuangan di jalan-Nya.

“Jangan direnung mujahadah yang perit dan pedih, tetapi renunglah kedamaian yang akan dirimu peroleh di dunia abadi, Akhirat sana. Mudah jawab soalan alam barzakh, senang hati apabila dihisab. Islam itu mudah namun jangan pernah dirimu mengambil mudah.”

Saya harap wahai sahabat, sedikit sebanyak apa yang saya coretkan pada warkah ini akan memberi kesan dan menyedarkanmu wahai sahabat apa yang perlu dirimu lakukan selepas ini. Saya telahpun melaksanakan untuk menegur dirimu agar memperbaiki dan mengajak ke arah kebaikan. Kini, tanggungjawab itu telahpun beralih padamu yang PATUT dirimu sampaikan pada orang lain.

Ramadhan yang akan datang inilah, jadikanlah ia bulan pertama (bulan anjakan paradigma) dan ibarat Ramadhan yang TERAKHIR  buat kita agar kita benar-benar memperbaiki diri dan berubah ke arah kebaikan serta mengajak orang lain bersama kita untuk mengajak ke arah kebaikan dan meninggalkan kemungkaran.

Warkah ini sedalam-dalamnya tulus daripada hatiku ini wahai sahabat kerana saya tidak mahu dirimu terus leka dan lali daripada-Nya. Ingatlah bahawa kubur menanti kita dan Allah juga pesuruhnya, Nabi Muhammad SAW yang akan menolong kita di Akhirat sana. BUKAN ayah, BUKAN ibu, BUKAN keluarga, BUKAN suami, BUKAN sahabat tetapi hanya mereka, Allah dan Rasulullah SAW.

"Yang baik itu datang daripada Allah dan yang buruk itu datang daripada saya sendiri"

Sekian.

Sahabatmu

0 comments:

Post a Comment

Subscribe For Email Feed

Email_SubscriptionsSign up to receive breaking news
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Search

Bookmark Us!

Add To DeliciousAdd To DiggAdd To FacebookAdd To StumbleuponAdd To RedditAdd To TechnoratiAdd To More Social Bookmark Sites