Sahabat,
Hari-hari selama aku bersamamu membuatkan aku menyanjungimu dalam diam. Semangat, nasihat dan pesananmu tetap tersemat di hati. Aku sentiasa refreshkan ia tatkala kau tiada di sisi. Pasti terngiang-ngiang suaramu yang sedang menasihatiku juga gelak tawamu ketika itu. Akan aku ingat selalu untuk menjadi pendorong dan inspirasi pada diri ini. Sepanjang kita menempuhi liku kehidupan di universiti, aku dapat melihat betapa gigihnya perjuanganmu dalam mengejar cita-cita, matlamat serta menegakkan syiar Islam.
Aku gembira saat kau berada di sisi. Seolah-olah aku merasakan satu kekuatan dan kegembiraan serta ketenangan apabila bersamamu. Jika kita berbual, pasti kau selitkan tentang-Nya yang akan membuatkan aku kembali teringat pada-Nya yang sememangnya itulah fitrah manusia. Setiap perbualan bersamamu tak pernah aku rasakan sia-sia. Pasti terselit hikmah yang sangat berguna. Aku suka cara perbualanmu itu. Senang dan lapang hatiku berbicara denganmu.
Terima kasih atas doronganmu walau hanya sedikit namun aku sangat menghargainya yang membuat aku berada di jalan yang benar dan lurus selama kita menjadi sahabat. Hari-hari yang pernah kulalui bersamamu tanpaku sedari timbul satu perasaan yang tidak mampu aku hindari. Setiap detik bersama menjadi memori indah dan sangat bermakna dalam hidupku. Aku tidak pasti adakah kau juga berperasaan sedemikian.
Namun semua itu tidak penting bagiku asal kau tahu aku gembira tatkala bersamamu. Juga aku ingin kau tahu, apabila kau gembira, aku akan gembira, tatkala kau sedih pasti aku turut merasa sedih. Tatkala kau sakit atau kelihatan penat, aku tak sanggup melihatnya kerana ingin sahaja aku menjadi pengganti pada semua itu. Biar aku rasakannya untukmu.
Namun itu takkan pernah berlaku. Apa yang aku harap, di kala kau duka, merasa kesepian atau perlukan seseorang, aku sanggup menjadi pendengarmu yang setia kerana aku bukan penyelesai masalah yang berjaya. Asal aku dapat meringankan beban pada hatimu, itu sudah memadai bagiku.
Walau hati ini selalu ingin kau berada di sisi, namun aku mengerti mimpiku tidak mungkin menjadi kenyataan kerana antara kita dipisahkan oleh sebuah tembok yang cukup tebal. Kau yang menjadi idaman ramai pasti dihadapkan dengan pelbagai pilihan.
Siapalah aku yang banyak kelemahan mempunyai sahabat sepertimu. Sesungguhnya aku amat mengerti dan reda dengan ketentuan ini. Sikit pun aku tidak menyesali fitrah diri. Malahan kita juga akan berpisah suatu hari nanti. Kerana-Nya kita bertemu, kerana-Nya juga kita berpisah. Walau hati ini sayu namun aku perlu akur akan ketentuan Ilahi.
Sahabat,
Percayalah walaupun kau tiada di sisi, jiwa dan semangatmu akan sentiasa bersamaku. Moga jika kita sudah berpisah nanti, kau masih memberi semangat, dorongan dan pesanan agar ianya tetap utuh dalam hati ini dan untuk kali terakhir, izinkan aku menyebut kalimah yang tak mampu kuluahkan dihadapanmu selama ini...
Aku cinta padamu…..sahabat.
...Melakar Cinta Allah Melalui Sahabat...
0 comments:
Post a Comment