Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
InsyaAllah mulai hari ini aku akan berkongsi artikel kak Amie Sofia Ahmad untuk berkongsi manfaat juga inspirasi betapa aku menghargai penulisan dia dalam duniaku sebagai penulis bebas tentang dakwah.
Oleh Amie Sofia Ahmad
KEHILANGAN sejumlah wang yang agak besar nilainya baru-baru ini, membuatkan saya terkilan atas kecuaian diri sendiri. Pada masa sama, saya terfikir ada sesuatu yang Allah SWT ingin tunjukkan.
Kecuaian itu membuatkan saya berjanji tidak lalai menjaga harta dunia tetapi adakah perasaan yang sama jika saya meninggalkan solat iaitu harta akhirat? Secara positif, saya anggap kehilangan wang itu sebagai balasan atas pelbagai kesilapan dan kealpaan diri dalam melaksanakan suruhan Allah SWT termasuk melewatkan solat.
Hal ini berkait rapat dengan adab dengan Maha Pencipta, tatkala seruan azan berkumandang kita masih melengah-lengahkan solat kerana tidak sanggup ketinggalan episod program televisyen yang diminati. Jika sikap kita mengabaikan perkara wajib (bersolat) bagaimana Allah akan memakbulkan segera doa yang dipohon? Marilah kita contohi adab Rasulullah SAW terhadap Tuhan Yang Esa. Ketika berlakunya peristiwa penting dalam kalendar Islam, Israk Mikraj, Nabi Muhammad dengan senang hati menerima suruhan bersolat 50 waktu tanpa mempersoalkan perintah berkenaan. Kemudian, Allah SWT menetapkan solat fardu lima waktu saja, baginda enggan meminta-minta kerana rasa malu menuntut perkara yang bukan haknya.
Sesungguhnya apabila malu, kita akan menjaga pertuturan, tingkah laku, cara berpakaian dan pergaulan. Kita juga akan memahami erti ihsan iaitu beribadah seolah-olah kita melihat Allah; dan jika kita tidak melihat-Nya, yakinlah Dia memerhati kita. Terlalu mengasihi hamba-Nya, Allah SWT menurunkan pembalasan perbuatan buruk kita di dunia dibimbangi manusia terus hanyut melakukan dosa. Sebagai hamba kita mengerti bahawa orang beriman sentiasa diuji bagi membuktikan keimanan diri.
Sesungguhnya Dia mengetahui hati kita lebih lunak merayu dan kembali kepada-Nya tatkala berada dalam kesusahan. Firman Allah SWT dalam surah Al-Ankabut: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata, ‘Kami beriman’ sedangkan mereka tidak diuji?” Terimbas kembali memori berada di Mesir, pada saat bertegang urat dengan pemandu teksi yang menaikkan tambang terutama terhadap pelajar asing. Sesudah tiba ke destinasi, dengan rasa tidak ikhlas saya menghulurkan bayaran kepada pemandu tua itu dan selepas itu, saya diuji pula apabila kamera milik saya bernilai RM530 hilang. Terduduk saya sambil memikirkan membiarkan amarah menguasai diri, mungkin kerana tidak beradab kepada orang tua dan terlalu berkira harta dunia, maka pada saat itu juga Allah memberi pembalasan. Kejadian itu menginsafkan saya dan terbukti dengan firman Allah SWT dalam surah Al-Syura, ayat 40: “Dan balasan jahat itu ialah jahat seumpamanya maka sesiapa yang memberi kemaafan serta berdamai ganjarannya ke atas Allah yang membalasnya.” Banyak perkara yang berlaku dalam kehidupan saya adalah kifarah dosa. Pernah saya bermasam muka dengan abang kandung sebagai balasannya saya gagal dalam ujian memandu. Tidak terlintas di fikiran kegagalan saya disebabkan kurangnya kemampuan sebaliknya ia berkaitan dengan masalah hati yang tidak selesai.
Rasulullah SAW. menyatakan soal hati seperti berikut: “Ketahuilah kamu di dalam badan manusia terdapat segumpal darah. Apabila baik, maka baiklah keseluruhan segala perbuatannya dan apabila buruk, maka buruklah keseluruhan tingkah lakunya. Ketahuilah kamu bahawa ia adalah hati.” Saya percaya mengamalkan kehidupan secara beradab terhadap Allah, Rasulullah pasti menyerlahkan kesenangan dan ketenangan. Pada zaman Nabi Muhammad, terdapat golongan pemuda pemudi memeluk Islam sedangkan ibu bapa mereka tidak. Namun, baginda tetap menyuruh mereka menghormati ibu bapa mereka yang masih kafir dan tidak memutuskan hubungan.
Beradab sesama teman serumah mahupun adik-beradik pasti memudahkan setiap ilmu meresap ke dalam minda. Bayangkan kita mempunyai masalah hati dengan mereka, adakah mungkin kita dapat belajar dengan tenang? Justeru itu, bersama-samalah kita membersihkan hati dan berfikiran positif agar hidup lebih tenang.
Sentiasalah berbuat baik tanpa mengira sesiapa, masa, keadaan ataupun mengharapkan ganjaran kerana Dia pasti akan membalasnya.
Pengembaraan saya bersama teman ke Cappadocia, Turki menjadi kenangan indah. Berada dalam kelompok manusia yang tidak pandai bertutur bahasa Arab, kami hanya mengguna isyarat tangan dan badan bagi mencari stesen bas. Apabila malam kian menjelma, kami melangkah ke masjid bertanya kepada bilal, dan syukur Tuhan membantu dengan menemukan kami dengan seseorang yang boleh berbahasa Arab.
Akhirnya dia membantu kami mendapatkan teksi dan berpesan kepada pemandu itu menjaga keselamatan kami.
Kemudian ketika di stesen itu, kami dikejutkan dengan kehadiran bilal sama di stesen bas semata-mata bagi memastikan keselamatan kami yang sebaya dengan anak perempuannya. Kita tidak pernah terfikir di bumi asing, Allah akan mendatangkan insan yang membantu kita memudahkan setiap dugaan dan kesukaran dialami. Saya yakin ia adalah hasil kebaikan dan beradab dalam kehidupan.
Sumber: Metro Ahad
Anda boleh melanggan update dalam blog saya dengan merujuk pada sidebar sebelah kiri. Terima kasih kerana membaca dan sokonglah penulisan kak Amie Sofia Ahmad dengan mendapatkan Metro Ahad pada setiap hari Ahad dengan harga RM1.50 sahaja. Semoga mendapat manfaat.
---------- Segala kopi pasta adalah dibenarkan dengan meletakkan backlink ke blog ini. Jazakallahu khairan. Copyright © 2011
0 comments:
Post a Comment